Friday, April 30, 2010

Mari Membaca

Assalaamu'alaikum teman yg dibukakan hati oleh Allah S.W.t untuk membaca..

Alhamdulillah..segala puji bagi Allah. Dengan izin-Nya lahirlah idea untuk bingkisan suara hati kali ni.

Sungguh tidaklah semua ini terwujud melainkan dengan Kehendak Allah S.W.T.

Tiada daya upaya serta kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah S.W.T..

Bacalah..Bacalah wahai diri..Bacalah wahai teman..

Jangan berpangku tangan menunggu datangnya cahaya mengetuk pintu hatimu..

Jangan bertekuk lutut menunggu Allah S.W.T memberi makanan pada jiwa mu..

Jangan menangguh hari untuk bertaubat mensucikan dirimu..

Jangan mengira bahawa kita masih dapat melihat cahaya matahari esok hari..

hitunglah sisa-sisa hari ini yang masih ada untukmu..

carilah cahaya itu.. dimana?

jawapannya ada dalam "BACALAH"..

Nabi Muhammad s.a.w, Rasul yang ummi, tidak tahu membaca dan menulis. Tapi dengan Kemuliaan dan Kekuasaan Allah S.W.T. Nabi Muhammad s.a.w telah dikurniakan dengan mukjizat Al-Quran dengan diturunkan firman Allah S.W.T yang pertama oleh Jibril a.s diwahyukan kepada Baginda yakni "Iqra'(bacalah)..."


Bismillahirrahmaanirrahim..

"Bacalah dengan (menyebut)nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu lah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah Al-Alaq;1-5)


Disini, dapat kita ambil hikmah bahawa Allah ingin mendidik manusia amnya bahawa untuk menimba ilmu tidak ada jalan pintas melainkan dimulai dengan membaca.


Dalam sejarah islamnya Umar Al-Khattab, Allah S.W.T telah mengabulkan doa Rasulullah s.a.w agar dikuatkan Islam dengan salah satu dari dua orang:yakni Umar atau Abu Jahal. Allah S.W.T telah memilih Umar r.a. Dia Maha Mengetahui akan hati orang-orang yang mahu menerima petunjuk. Umar r.a memeluk Islam setelah membaca permulaan Surah Taaha:


Bismillahirrahmaanirrahim

"Thaahaa.Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah,Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang Tinggi (iaitu) Tuhan yang bersemayam di atas 'Arsy.KepunyaanNya-lah semua yang ada di langit, semua yang di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang di bawah tanah. Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu, Maka Sesungguhnya Dia Mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi. Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Dia mempunyai Al-asmaaul husna (nama-nama yang baik)." (Surah Thaha:1-8)


Sebelum memeluk Islam, Umar r.a terkenal dengan sikap bengis dan kasar, beliau adalah salah seorang penentang penyebaran agama Islam pada mulanya. Jika orang yang paling kuat memusuhi Nabi Muhammad s.a.w adalah Abu Jahal, maka yang paling kejam menyeksa kerabat-kerabatnya yang masuk Islam adalah Umar r.a.

Lihat..Umar r.a akhirnya memeluk Islam setelah membaca juga..

Apakah kita harus terus berpangku tangan?


Ayuh diri..Ayuh teman..


Marilah membaca.. mulailah dengan membaca al-Quran. Tanamkan perasaan cinta pada al-Quran. Rindukan firman-firman yang langsung dari Allah S.W.T. Alangkah indahnya janji-janji Allah pada hamba-hambaNya yang beriman, Alangkah kerasnya ancaman Allah pada orang-orang yang berpaling dari jalan Allah S.W.T.Na'uzubillahi minzaalik.


Indahnya bahasa al-Quran tiada tandingan dengan bait-bait lagu yang Top 10 dalam U.S Billboard, Top 5 dalam Muzik2 ataupun seumpamanya. Lidah begitu ringan mendendangkan lagu-lagu siulan syaitan. Ketahuilah, lagu-lagu adalah senjata syaitan untuk melalaikan kita dari mengingati Allah S.W.T. dan mengeraskan jiwa.

Zaman sekarang, kanak-kanak bawah 7 tahun sudah pandai menyanyi.

Siapa yang salah?? Radio?? Televisyen?? Internet??

Jangan..jangan menuding jari pada benda-benda tersebut. Titik tolak nya adalah dari diri kita sendiri. Kita yang memilih untuk mendengar, kita yang memilih untuk didengari oleh kanak-kanak. Kita yang memilih untuk terus dikuasai syaitan dan nafsu.


Disini lah perlunya MEMBACA. Di samping melazimkan diri untuk membaca al-Quran setiap hari, carilah juga bahan bacaan yang dapat membina dan merangsang jiwa.


Ayuh kita buat perubahan mulai saat ini. Tidak akan ada hari esok bagi orang-orang yang memahami firman Allah S.W.T dalam Surah Al-'Ashr (ayat 1-3):

Bismillaahirrahmaanirrahim

" Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan melakukan amal soleh, nasihat menasihati dalam kebenaran dan nasihat-menasihati dalam kesabaran."



Semoga Allah S.W.T memberi kekuatan untuk kita untuk mulai membaca. Membuka pintu hati kita untuk menerima hikmah. Menyinari hati kita dengan cahaya keimanan.

Lakukan perubahan hari ini. Peruntukan masa yang terluang untuk membaca. Kayakan jiwa dengan ilmu. InsyaAllah. Berusahalah untuk menambah ilmu akhirat. Mudahan-mudahan Allah S.W.T memberi pertolongan kepada kita dalam pemahaman kepada ilmu agama. InsyaAllah.

Allah S.W.T tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka berusaha untuk berubah.

pesanan untuk diri sendiri : cari ilmu sebelum ia diangkat oleh Allah S.W.T